Style Switcher

Layout options
  • Boxed Layout
  • Full Width Layout
Primary Color
LOGO PERSEKUTUAN

Pengenalan

UMK adalah merupakan Universiti yang telah diluluskan penubuhannya oleh Jemaah Menteri pada 14 Jun 2006 dan diperbadankan pada 1 September 2006.  Ia merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-19 di Malaysia. Tujuan utama penubuhan UMK adalah untuk meneroka, membangun dan mengembangkan ilmu pengetahuan terutamanya yang berteraskan keusahawanan, perniagaan, seni warisan, teknologi kreatif dan sains gunaan menerusi pengajaran, penyelidikan, persidangan, penulisan yang berkualiti dan bertaraf global dengan memanfaatkan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sepenuhnya;

UMK juga bertujuan bagi menjana graduan, para sarjana dan ilmuan yang seimbang untuk membangunkan modal insan yang selaras dengan kehendak negara. Semua program pengajian yang ditawarkan berteraskan konsep keusahawanan dan kemahiran insaniah tidak terhad kepada bidang berkenaan semata-mata malah juga merangkumi bidang-bidang sains, seni, warisan dan lain-lain. Bagi mencapai matlamat yang dirancang serta meluaskan skop pengajian, latihan dan khidmat masyarakat maka sebuah pusat kecemerlangan yang dinamakan Institut Perusahaan Kecil Dan Sederhana atau dalam bahasa Inggeris sebagai Institute of Small and Medium Enterprises (ISME) telah ditubuhkan. Bagi memudahkan penjenamaan Institut ini maka perkataan ISME digunakan sebagai sebutan atau nama ringkas. Pewujudan Institut ini telah sedia terkandung dalam Warta Kerajaan bertarikh 7 Disember 2006.

PEMERBADANAN

Maka hendaklah ditubuhkan satu institusi pengajian tinggi yang mempunyai taraf Universiti, sebagai suatu pertubuhan perbadanan, bagi maksud mengadakan, memajukan dan mengembangkan pengajian tinggi dalam bidang industri kecil dan sederhana, keusahawanan, perbankan, kewangan dan perniagaan Islam, bioteknologi, agrobioteknologi, biokimia, bioinformatik, seni dan rekabentuk kreatif, pengajian bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Arab, bahasa Jepun, bahasa Perancis, bahasa Mandarin dan lain-lain, industri berasaskan pertanian, sumber asli dan industri pembuatan, dan bidang pengajian lain yang perlu, serta juga mengadakan penyelidikan dan pengumpulan dan pemajuan pengetahuan, dan penyebaran pengetahuan dalam bidang pengajian itu.

Selaras dengan capaian terhadap aspirasi yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)   2015 - 2025 khususnya terhadap lonjakan 1 iaitu Graduan Holistik, keusahawanan dan Seimbang serta saranan terhadap tanjakan sosio ekonomi yang dihasratkan sempena Amanat Tahun Baharu 2015, maka fungsi dan peranan serta strategi Institut ini telah diperkemaskan dan dimantapkan bermula 1 Mac 2015.